LUMPUR - Kira-kira tujuh juta pemilik telefon pintar di negara ini diancam penggodam siber
yang menjadikan ia instrumen dalam kegiatan penggodaman untuk menipu bagi mendapatkan wang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan
berkata kurangnya kesedaran terhadap risiko keselamatan telefon pintar menjadikan pengguna
ini mudah disasarkan sebagai mangsa.

"Modus operandi antaranya dijalankan dengan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS)
dikenali sebagai 'SMS Trojan' kepada pengguna yang tanpa disedari kos dikenakan ke atas
pengguna dengan hanya membalas sms berkenaan. Pengguna hanya menyedari perkara itu apabila
mereka menerima bil telefon yang tinggi sedangkan mereka tidak menggunakannya," katanya kepada
 Bernama di sini, baru-baru ini.

Katanya, kegiatan itu juga dikesan dengan menipu menerusi aplikasi-aplikasi yang terdapat
 di dalam peranti (telefon bimbit) sebagai contoh aplikasi 'Type-On' yang sekiranya dimuat turun
 akan menyebabkan pengguna menanggung kos yang kononnya dikenakan selepas memuat turun
aplikasi tersebut walaupun mangsanya telah menghentikan aplikasi berkenaan.

'Lookout Mobile Security' yang dipetik dari agensi berita luar negara, AFP, menganggarkan pengguna
di seluruh dunia mengalami kerugian jutaan dolar pada tahun lepas melalui virus 'malware' dan
'toll fraud' yang menyerang pengguna telefon pintar kerana mendapatkan aplikasi daripada
sumber tidak rasmi berbanding sumber yang dipercayai seperti Apple atau Google 'online shops'.

Syed Ismail berkata, berdasarkan statistik polis, kerugian yang direkodkan dalam tempoh
Januari hingga September tahun ini bagi jenayah siber yang menggunakan modus operandi melalui
 SMS atau panggilan telefon, perbankan internet atau perbankan telefon, penggodaman dan salah
guna rangkaian termasuk belian barangan adalah kira-kira RM21.8 juta.

Katanya, kes belian barangan melalui internet mencatatkan kerugian tertinggi iaitu RM14.5 juta
bagi 1,298 kes diikuti SMS atau panggilan telefon sebanyak RM3.4 juta (412 kes), 24 kes
 penggodaman (RM3.3 juta) perbankan internet atau perbankan telefon sebanyak RM590,000 (74 kes ).

"Bagaimanapun bagi kes salah guna rangkaian tidak merekodkan sebarang kerugian memandangkan
 ia tidak melibatkan kerugian harta benda tetapi ia lebih kepada jenayah peras ugut terhadap 
mangsa seperti menggunakan gambar dan kata-kata mengugut. Ia mencatatkan sebanyak 25 kes,"
 katanya.

Syed Ismail berkata, selain daripada tujuh juta pengguna telefon pintar, pengguna internet
mudah-alih berjumlah 7.7 juta pengguna di Malaysia.

Katanya polis akan merujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk
tindakan lanjut dan bekerjasama rapat dengan agensi itu.

Justeru Syed Ismail berkata berdasarkan laporan yang pernah diterima, pengguna yang mendapati
 bil telefon mereka melambung tinggi tanpa sebab munasabah dengan penggunaannya hanya
akan melaporkannya kepada syarikat telekomunikasi sekadar untuk membuat aduan dan
mendapatkan penjelasan mengenainya tanpa membuat tindakan susulan.

"Dalam perkara ini, mereka juga boleh menyalurkan aduan mereka kepada SKMM sebelum
tindakan sewajarnya diambil seperti mengenakan kompaun kepada syarikat telekomunikasi
sekiranya didapati syarikat berkenaan mengenakan kadar bayaran tanpa alasan yang munasabah.

"Melalui langkah ini juga mungkin dapat mengesan kewujudan kegiatan penipuan oleh
penjenayah siber terhadap pengguna telefon pintar," katanya.

Dalam aspek penguatkuasaan, Syed Ismail berkata pihaknya berusaha untuk melengkapkan
 polis dengan kemahiran Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) dan berkongsi maklumat
antara agensi lain, sama ada dalam mahupun luar negara.

"Seiring dengan perkembangan jenayah siber semasa, penambahbaikan dari segi peralatan dan
 teknologi khas seperti perkakasan dan perisian harus sentiasa dikemaskini dalam memastikan
langkah pencegahan yang lebih berkesan," katanya.

Katanya, masyarakat sendiri harus mempunyai ilmu tentang tahap keselamatan telefon pintar
 mereka dan bagaimana untuk mencegah sekaligus mengurangkan risiko daripada menjadi 
sasaran penjenayah siber yang sentiasa bekerja 24 jam mencari mangsanya.  - Bernama